Friday, July 4, 2008

Anwar kreatif cipta kontroversi – Khairy

TEMERLOH 29 Jun – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang ahli politik yang `kreatif’ dalam meraih simpati masyarakat terhadapnya.

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja taktik untuk menarik perhatian masyarakat kononnya nyawanya terancam.

‘‘Saya sendiri tidak menolak kemungkinan Anwar sendiri yang menyuruh pembantunya itu membuat laporan polis dan ini adalah satu taktik konspirasi beliau untuk meraih simpati orang ramai,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri perjumpaan dengan ahli-ahli Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai tindakan seorang pemuda yang membuat laporan polis mendakwa dia diliwat oleh Anwar di ibu negara.

Pemuda berusia 23 tahun itu dan merupakan pembantu khas kepada Anwar telah membuat laporan di Balai Polis Travers pada pukul 5.45 petang Khamis lalu.

‘‘Kononnya nyawa (Anwar) diancam, Anwar kini berlindung di Kedutaan Turki dan taktiknya bersembunyi di kedutaan asing mengiyakan pandangan sesetengah pihak selama ini beliau bersekongkol dan bekerjasama dengan kuasa asing.

‘‘Sepatutnya, jika benar nyawanya terancam, Anwar hendaklah membuat laporan polis dan bukannya berselindung di kedutaan asing di negara sendiri,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan taktik tersebut dan sebaliknya biarlah polis membuat siasatan mengenai dakwaan tersebut.

Tuesday, July 1, 2008

Nasihat berguna nasihat yang diminta

Oleh Satinah Markom

MEMBACA tulisan Minah Leter dalam akhbar Buletin Rakyat keluaran 15 Julai 2008 di muka surat 11, bertajuk Kahiry oh Khairy, rasa terpanggil untuk 'menasihat' penulis ini supaya janganlah merasakan diri ini, bila sudah jadi penulis, sudah boleh menerbitkan akhbar 'nyamuk', seolah-olah diri itu sudah terlantik menjadi 'penasihat'. Pepatah Inggeris berbunyi; 'nasihat berguna ialah nasihat yang diminta'. Maknanya, jika nasihat tidak diminta, tiba-tiba kita pandai-pandai mahu menasihat orang, ia menjadi seperti mengada-ngada dan emandai-mandai.

Minah Leter, dalam tulisannya; "Apa? Tak ada pemimpin Umno lain ke boleh membuat kenyataan menuntut kerajaan hapuskan tol kerana kenaikan harga minyak dan umumkan penyata kewangan Petronas selain Khairy Jamaluddin (KJ)? Tak habis-habis memancing kemarahan orang. Asyik dia (Khairy) saja mahu ke depan."

Begitulah luahan hati salah seorang pemimpin Umno. Dari nada suaranya Nampak begitu marah dengan Khairy. Jelasnya lagi sepatutnya Khairy berhenti dari membuat kenyataan-kenyataan berkaitan pentadbiran Negara kerana sedikit sebanyak orang ramai akan mengaitkannya dengan Pak Lah. Pada pendapat ML (Minah Leter) apa yang diperkatakan oleh pemimpin Umno berkenaan ada benarnya. Apa pun kenyataan Kahiry berhubung pentadbiran negara sedikit sebanyak orang ramai akan mengaitkannya dengan Pak Lah. Jesteru Khairy kena lebihkan kerja dan kurangkan bercakap. Kalau pun ada isu-isu tertentu berkaitan negara apa salahnya Khairy memberikan amanah kepada pemimpin Pemuda lain membuat kenyataan. Itu lebih manis dan sopan memandangkan Khairy adalah menantu Pak Lah.

Apapun nasihat ML Cuma satu, berharapkan Khairy belajar tentang politik Malaysia dan mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi. Ramai tahu Khairy tidak mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan jesteru lebih baik bersikap sederhana dan merendah diri bagi mengelakkan salah faham ahli Umno yang lainnya.

Minat Leter…sesekali suka menasihat. Entah apa yang penulis ini hendakkan dari KJ, tidak dapat saya teka tetapi pandangannya dan pandangan 'seorang pemimpin Umno' yang disebutnya dalam kolumnnya itu umpama cerita budak-budak berkaitan kisah 'sang kancil dengan buaya'. Sang kancil mengetuk kepala buaya dengan kiraan 'satu dua tiga lekuk…jantan betina kena ketuk'. Kata-kata 'seorang pemimpin Umno' yang tidak disebut nama, jawatan dan
tugasnya (entah ada entah tidak pemimpin yang dimaksudkan ini) adalah kata-kata seorang pemimpin yang tidak ada kelas langsung. Kalau dia tidak bersetuju Khairy bercakap, kenapa dia tidak bercakap? Kenapa hendak cemburu dengan Khairy jadi menantu Perdana Menteri?

Bukankan soal jodoh pertemuan, rezeki dan ajal maut semua ketentuan Allah? Bukan semua lelaki mampu menjadi menantu Perdana Menteri. Bukan semua menantu Perdana Menteri boleh terpilih menjadi Ahli Parlimen. Bukan semua senasib dengan KJ. Dan KJ pun tidak senasib dengan beberapa orang lain yang terlebih dahulu 'naik' seperti kenaikkannya dalam politik. Ambil contoh Datuk Seri Najib Tun Razak. Dia menjadi Ahli Parlimen menggantikan Allahyarham bapanya, Tun Razak Hussein yang meninggal dunia.

Datuk Seri Syed Hamid Albar menjadi Ahli Parlimen dan kemudiannya dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana bapanya Allahyarham Tan Sri Jaafar Albar adalah bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Mohd Tawfek Tun Dr. Ismail diberi peluang menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut suatu ketika dahulu kerana dia adalah anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr.Ismail Abdul Rahman.

Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali adalah anak kepada Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad adalah anak kepada Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad Hashim bekas MB Perlis, Tun Fatimah Hashim dan suaminya Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof serentak duduk dalam kabinet, Allahyarham Tun Ghafar Baba ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, anaknya Mohd Tamrin adalah Ahli Parlimen Batu Berendam dan Pengerusi MARA.

Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik adalah anak kepada bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka dan ini adalah senarai pendek yang sengaja saya tuliskan untuk ML dan 'seorang pemimpin Umno' belajar erti politik sebenar. Tiada siapa yang minta dilahirkan ke dunia dan apabila mereka lahir,
kebetulan mereka menjadi anak menteri, anak bekas Perdana Menteri, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri dan menemui jodoh dengan anak Perdana Menteri, ia sebenarnya ketentuan Illahi.

Kalau sudah menjawat jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, tidak pula boleh bercakap isu-isu yang berkaitan dengan negara, ML nak minta KJ bercakap soal apa? Takkanlah KJ nak bercakap soal 'isu liwat' dan cerita Mohamad Sabu yang kalah di Kuala Terengganu.

KJ buat kerja, sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda, sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Rembau, Ahli Parlimen Rembau dan Timbalan Presiden FAM, bukan dengan niat hendak jemput Buletin Rakyat buat liputan. Pergilah ke Rembau, sekurang-kurangnya seminggu sekali,
melihat sendiri apa aktiviti KJ yang sudah disusun dan belum disusun. Amatlah melampau kalau ada penulis yang rendah intergritinya, tinggi sifat cemburunya dan rendah akal budi, membelasah sesiapa sahaja yang mereka tidak suka, berdasarkan cakap-cakap 'seorang pemimpin Umno' yang kita sendiri pun tidak tahu apa yang dia buat selama 'bergelar pemimpin'.

Ada Ahli Parlimen seperti Mukhriz Tun Mahathir, kerjanya tidak ada lain, buat kenyataan minta Perdana Menteri berundur. Dia tidak ada masa untuk memikirkan macam mana hendak membantu rakyat supaya tidak terus terbeban dengan kenaikkan harga minyak.

Ada menteri yang bernama Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin. Pegang jawatan Naib Presiden Umno dan Pengerusi JK Etika dan Pemilihan parti. Dia berjalan ke seluruh Malaysia, menyalahkan kepimpinan kerana tidak Berjaya cemerlang dalam PRU 12.

Ada Timbalan Perdana Menteri, bernama Datuk Seri Najib Tun Razak. Dia juga sibuk dengan serangan dari PKR mengenai isu wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu yang dibunuh kejam dan mayatnya diletupkan. Ada ramai menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen, tetapi mereka tidak duduk diam sebenarnya kerana ada tugas dan tanggungjawab yang mereka pikul tetapi jika ada seorang Ahli Parlimen yang meminta pendedahan penyata kewangan Petronas, sokonglah, bukan caci. Kita pun, sebagai penulis, hanya tahu mengkririk, tetapi apakah cadangan dan pandangan kita terhadap kenaikkan harga minyak?

Mengkritik, boleh dibuat oleh sesiapa sahaja termasuk budak-budak yang tidak lulus SRP tetapi mencari jalan keluar dan mencadangkan, perlu dibuat oleh mereka yang berakal selain dari berpelajaran tinggi. Mulai hari ini, saya ingin melupakan untuk membaca akhbar Buletin Rakyat yang saya anggap sebagai 'akhbar kelas rendah' jika mereka tidak mahu berubah.

Wednesday, June 25, 2008

KHAIRY MENJELASKAN LAPORAN POLIS


Tuduhan bermotifkan politik dan pembohongan yang nyata, sekali lagi dilakukan oleh Raja pencetus kontroversi iaitu Raja Petra Kamaruddin. Kali ini tuduhan beliau melibatkan Perdana Menteri dan Timbalannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shariibu.

Raja Petra dalam akuan bersumpahnya mendakwa ada tiga orang hadir pada tempat dan masa berlakunya pembunuhan Altantuya iaitu Rosmah, Pemangku Kolonel, Aziz Buyong yang juga seorang pakar bom C4 dan isterinya yang juga pengawal pengiring Rosmah, dikenali sebagai Norhayati.

Raja Petra dalam akuan bersumpah itu juga mendakwa beliau dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai secara pasti bahawa Perdana Menteri sudah menerima satu laporan perisikan tentera mengenai perkara itu dan laporan itu kini dalam simpanan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Khairy yang sebelum ini pernah ditanya berkenaan isu berkenaan berkata beliau akan membuat perbincangan dengan peguam beliau memandangkan ia melibatkan implikasi undang-undang sebelum beliau mengambil sebarang tindakan mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan.

Pada jam 10.30 malam tadi (24 Jun 2008), Khairy telah membuat satu laporan polis berkenaan pertuduhan yang diterimanya itu. Khairy telah menjelaskan dengan terperinci bahawasanya tuduhan Raja Petra itu merupakan satu pembohongan semata-mata untuk menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan dirinya sendiri.

Khairy menyatakan bahawa dia tidak pernah menerima apa-apa bentuk laporan berkenaan kes Altantuya sepertimana yang dilaporkan oleh Raja Petra dalam akuan bersumpah beliau itu. Raja Petra hanya membuat satu akuan palsu yang tiada bukti kesahihan sumber demi memburukkan nama mereka yang dikatakan terlibat terutamanya dirinya dan Pak Lah.

Keputusan dibuat ketika negara hadapi dua krisis serentak: Khairy


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat keputusan ekonomi yang berani dan tidak popular kerana Malaysia tidak pernah menghadapi dua krisis serentak iaitu kenaikan harga minyak dan makanan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkata penstrukturan semula subsidi minyak oleh kerajaan adalah keputusan beramanah, bertanggungjawab dan memberi kesan positif dalam jangka masa panjang.

“Sejak 1996 sehingga 2008 harga minyak mentah dunia sudah naik 600 peratus tetapi di Malaysia hanya 145 peratus,” katanya semasa membahaskan usul kenaikan harga minyak dan barangan.

Khairy, yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, tidak bersetuju dengan cadangan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang mahu Petronas menggunakan pesawat awam berbanding memiliki jet sendiri untuk menjmatkan perbelanjaannya.

Ini kerana Petronas perlu menggunakan jet syarikatnya untuk pergi ke negara seperti Kazakhstan, Iran dan sebagainya untuk meneroka telaga minyak baru.

“Janganlah beri cadangan yang begitu simplistik dan kebudak-budakan,” kata Khairy.

Beliau berkata perbandingan negara ini sebagai pengeluar minyak dengan Arab Saudi, Venezuela dan negara pengeluar minyak lain adalah tidak adil kerana negara berkenaan mempunyai pengeluaran yang lebih tinggi berbanding Malaysia.

Khairy juga mencadangkan agar keuntungan levi yang diperoleh daripada pengeluar tenaga bebas (IPP) kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus disalurkan bagi menurunkan tarif elektrik kepada pengguna.

Beliau turut membidas cadangan pembangkang kononnya kerajaan yang mahu mereka (pembangkang) tubuhkannya selepas 16 Septemper ini boleh mengurangkan harga minyak, kerana langkah itu akan meningkatkan defisit bajet dan mengakibatkan negara terpaksa meminjam wang.

Katanya apabila negara meminjam wang ia akan menyebabkan “credit rating" negara menurun dan menyebabkan bank konvensional tidak akan memberikan pinjaman.

Pada ketika itu, Datuk Paduka Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) bangun dan dalam keadaan marah membangkitkan peraturan mesyuarat supaya tempat duduknya diubah kerana seringkali tidak diberi perhatian untuk berucap walaupun terlebih dahulu bangun berbanding orang lain. “Ini peraturan mesyuarat. Kalau tidak saya baling buku ni. Dalam peraturan, siapa bangun dulu, dia perlu diberi peluang bercakap.

“Saya walaupun Bebas, saya pernah jadi Ahli Parlimen dua penggal dan boleh dianggap senior. Tak bererti saya (mesti) dianaktirikan walaupun mewakili Bebas,” katanya.

Timbalan Speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata: “Saya dengar YB.”

Lim semasa membahaskan usul itu turut mencadangkan supaya kerajaan menyalur bantuan RM500 sebulan kepada setiap keluarga miskin dengan menggunakan keuntungan Petronas sebagai langkah meringankan beban mereka ekoran kenaikan harga minyak dan barangan ketika ini.

“Petronas telah dapat lebih RM570 bilion keuntungan sejak ia ditubuhkan dan daripada jumlah ini lebih 60 peratus telah disalurkan kepada kerajaan pusat.

"Mengapa kerajaan tidak boleh berikan kepada rakyat Malaysia setiap keluarga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan? katanya.

Datuk Mohamed Abdul Aziz (BN-Sri Gading) dalam perbahasannya menyifatkan cadangan Lim sebagai tidak realistik dan boleh mengelirukan rakyat.

“Saya difahamkan pendapatan kita seluruhnya RM168 bilion, daripada jumlah itu pembangunan RM40 bilion, pengurusan RM48 bilion, pendidikan RM35 bilion, kesihatan RM11 bilion. Setelah tolak ini baki RM7 bilion akan diagih-agihkan kepada 29 kementerian.

“Apakah masuk akal kalau kita nak bagi setiap keluarga RM6,000? Marilah kita bersifat realistik sedikit supaya tidak mengelirukan rakyat,” katanya. — Bernama

Tuesday, June 24, 2008

Salur terus levi keuntungan TNB kepada pengguna



KUALA LUMPUR 23 Jun - Kerajaan dicadangkan mewujudkan satu mekanisme untuk menyalurkan terus levi keuntungan besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada pengguna bagi mengelakkan mereka terpaksa menanggung beban daripada kenaikan tarif elektrik.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, mekanisme pembayaran itu harus dilaksanakan oleh kerajaan supaya levi keuntungan dapat digunakan untuk mengurangkan kos penjualan tenaga pengeluar tenaga bebas (IPP) kepada TNB.

"Ini bagi membolehkan ia disalurkan kepada pengguna akhir melalui pengurangan kadar tarif elektrik," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau yang menjelaskan ucapannya semasa membahas usul kenaikan harga minyak dan barangan yang berkaitan dengan tarif elektrik pada persidangan Dewan Rakyat hari ini menjelaskan, buat masa ini, mekanisme yang dicadang untuk dilaksanakan adalah semua levi keuntungan IPP sebanyak 30 peratus daripada keuntungan pulangan aset yang melebihi sembilan peratus perlu disalurkan kepada kerajaan.

"Jadi kerajaan boleh terus dengan keputusan untuk menaikkan tarif elektrik dan cadangan saya supaya levi keuntungan itu terus pergi kepada pengguna," katanya.

Khairy juga mencadangkan supaya diadakan sistem terkumpul bagi bidaan tenaga daripada IPP dengan satu operator sistem grid berkecuali akan membeli tenaga daripada IPP berdasarkan harga terendah.

Katanya, melalui sistem ini para IPP akan bersaing dan berusaha untuk mengurangkan kos operasi serta meningkatkan kecekapannya supaya dapat menawarkan harga terendah di samping memenuhi margin keuntungan syarikat.

Hasilnya, kata beliau, pengguna akhir akan mendapat faedah melalui bekalan tenaga yang lebih murah hasil kecekapan dan peningkatan operasi tersebut.

KJ - Bersama Membangunkan dan Membela Wanita



Seremban 21 Jun – Tradisi pembelaan dan peranan wanita di Negeri Sembilan memang begitu istimewa berbanding dengan Negara luar kerana di Negeri Sembilan khususnya di Rembau, mengunakan konsep adat perpatih dan berbeza di negeri-negeri lain.

Demikian kata-kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ketika berucap di Program Selingkar Kasih anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Rembau Bersama LPPKN Negeri Sembilan. Majlis perasmian penutup tersebut disempurnakan oleh Yang Mulia Raja Datin Seri Salbiah Bt Tengku Nujumuddin, Isteri kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.

Turut hadir sama tetamu kehormat Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial Kepada YAB Perdana Menteri Merangkap Pengerusi MPWK Kebangsaan, Y.Bhg. Dato Seri Shahrizat bt Abd Jalil.

Ucapan tahniah dan syabas juga turut disampaikan oleh Khairy kepada Dato Seri Shahrizat kerana Dato Seri telah dilantik menjadi Penasihat Hal Ehwal Pembangunan YAB Perdana Menteri. Selain dari itu Dato Seri juga dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kebangsaan.

Khairy juga berasa kagum dengan kebolehan Dato Sri Shahrizat yang telah berjaya mewujudkan sekretariat khas bagi membantu golongan wanita Islam mencapai keadilan sebagai asas utama pembangunan masyarakat ke arah pembentukan sebuah negara maju sejajar dengan pengumuman yang di buat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berpendapat program tersebut akan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan wanita Islam terutamanya dengan masalah-masalah hal wanita berhubungan dengan masalah hak wanita di Mahkamah Syariah yang berkaitan dengan hak penjagaan anak, harta sepencarian, perceraian, masalah-masalah yang tidak dapat diselesaikan seperti beberapa kes yang telah lama tertangguh di Mahkamah Syariah dan lain-lain.

Katanya lagi, oleh kerana terdapat lebih kurang 1,000 ibu tunggal yang pro aktif dan tidak pro aktif di Negeri Sembilan ini, beliau akan turut bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Rembau untuk mengadakan beberapa program bagi memastikan golongan yang pro aktif ini dapat diserapkan kedalam arus perdana dan bagi golongan yang tidak pro aktif akan dimasukkan ke dalam Jaringan Keselamatan Sosial.

Sepertimana yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, bahawa beliau mempunyai program khusus iaitu Jaringan Keselamatan Sosial yang akan menjaga kebajikan dan keselamatan kepada mereka yang memerlukan bantuan dan sebagainya.

Khairy juga yakin dengan kepimpinan Dato Seri Shahrizat akan meningkatkan keupayaan Wanita Umno untuk lebih menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyediaan perkhidmatan sokongan dan program-program membina kapasiti yang cekap dan berkesan.

Sesungguhnya Kerajaan sentiasa komited dan prihatin terhadap kemajuan kaum wanita di Malaysia dengan pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kerajaan bagi memelihara dan melindungi hak dan kepentingan kaum wanita, sama ada dengan mengadakan dasar dan perundangan mahupun melalui pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti. Kerajaan juga tidak lupa untuk menghargai dan mengiktiraf sumbangan dan peranan aktif wanita Malaysia dalam membangunkan negara ini.

Yang terbaik akan menang - Khairy


KUALA LUMPUR 23 Jun - "Saya pasti yang terbaik akan menang," demikian komen Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau, Azman Mohd. Sah, 37, yang mahu mencabar beliau pada pemilihan parti Disember ini.

Azman akan mencabar Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau.

Khary berkata, keputusan Azman yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tersebut menunjukkan parti UMNO mengamalkan demokrasi.

"Saya tak takut dicabar...ini politik dan dalam UMNO kita amalkan demokrasi. Kita tengoklah dalam pemilihan nanti siapa menang siapa kalah," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu diminta mengulas mengenai keputusan Azman yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Seliau, Rantau, Negeri Sembilan untuk mencabar Khairy yang kini menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rembau.

Azman dalam laporan akhbar semalam berkata, keputusannya itu diambil atas hasrat ingin membawa angin perubahan dan memupuk perpaduan yang telah lama ditunggu oleh ahli-ahli pergerakan Pemuda UMNO bahagian.

Katanya, beliau juga optimis akan menerima sekurang-kurangnya 28 pencalonan bagi melayakkan diri bertanding menentang Khairy.

Mengenai dakwaan Azman bahawa sebahagian besar ahli Pemuda UMNO bahagian itu berpandangan kepimpinan sedia ada dikuasai oleh kelompok tertentu sahaja serta gagal membawa perubahan yang diharapkan, Khairy berkata:"Itu pendapat dia, ada ramai lagi yang tidak sependapat dengan dia."

Monday, June 23, 2008

YONG TAK SEDAR KENA PERLI DENGAN KHAIRY

Oleh Sabrani Muin

Bila Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee menyifatkan dakwaan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin beliau akan dilantik Timbalan Perdana Menteri sekiranya menerima tawaran Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tak masuk akal dan gila, sesungguhnya Teck Lee tak faham beliau diperli.

Semua orang tahu, Anwar bukan gila untuk meletakkan Teck Lee sebagai Timbalan Perdana Menteri kalau beliau berjaya membentuk kerajaan. Banyak lagi orangnya seperti Azmin terutamanya yang pasti orang pertama dinamakan sebagai timbalannya.

Untuk meletakkan Teck Lee sebagai timbalan perdana menteri jauh panggang dari api. Menafikan kenyataan itu sudah cukup menyatakan yang Teck Lee sudah mula perasan untuk memegang jawatan-jawatan penting dalam kerajaan. Beliau tak kiralah apa kerajaan pun asalkan beliau ada tempat yang baik.

Apa yang dilihat dari pergerakan Teck Lee sejak menyuarakan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau sebenarnya sedang merancang sesuatu untuk mengelakkan diri dari sesuatu bagi mengalih pandangan kepada perkara lain yang melibatkan
peribadi beliau yang sudah tersalah langkah.

Demi kepentingan peribadi, Teck Lee terpaksa menggunakan partinya untuk berselindung. Kerana itulah ada terdapat percanggahan antara kenyataan beliau dengan sekutunya yang lain.

Lebih lagi apabila BPR pula sedang menyiasat Teck Lee terhadap satu kes rasuah yang melibatkan RM5 juta sudah cukup untuk kita menilai siapa Teck Lee sebenarnya. Itu yang kita tahu dari BPR mendedahkannya. Yang kita tidak tahu entah berapa puluh juta lagi kalau tidak ada siapa ketengahkan.

Atas sebab-sebab itu Teck Lee mengelabah dan sedia apa saja jenis gula-gula yang disuapkan ke mulutnya. Malah dalam helah untuk menarik orang terdesak seperti Teck Lee, tidak menghairankan Anwar atau orang-orangnya boleh menawarkan bukan sekadar timbalan perdana menteri, malah perdana menteri dalam giliran pun mungkin.

Dalam perkara yang belum jadi, apa pun kita boleh bayangkan. Kalau ada orang yang berkata selepas ini Teck Lee layak dijadikan Presiden bertaraf exekutif menggantikan tempat Gabenor Sabah pun boleh atas sifat memerli beliau yang gilakan sangat pangkat besar untuk melindungi dirinya.

Sayang Teck Lee yang dalam keadaan gelabah sekarang ini, tidak tahu yang dirinya sudah menjadi mainan orang ramai. Bukan setakat Khairy perli yang dia akan jadi timbalan perdana menteri kalau Anwar memerintah, malah ada yang kata dia sama dengan tahap Yong Tau Foo di semenanjung.

Kata gurauan perli itu, kalau di semenanjong makanan Cina yang popular kita panggil Yong Tau Foo, di Sabah kita panggil Yong Teck Lee. Begitulah teruknya orang mengejek bekas Ketua Menteri yang berfikiran tersangat cetek itu. Akalnya dilihat lebih pendek dari jambangnya.

Dalam kemelut bergelut antara mahu mengajukan usul tak percaya kepada perdana menteri dan mahu keluar dari BN ini, tindakan Teck Lee bukan sahaja dipandang beliau tidak cerdik dan tidak berpendirian, tetapi cara beliau memberi kenyataan pun telah dipandang tidak sihat dari
kalangan parti pimpinannya sendiri.

Ramai yang yakin bahawa Teck Lee macam rasa terhina apabila timbalannya dalam parti berkedudukan Timbalan Ketua Menteri Sabah. Begitu juga dengan rayuan beberapa anggota SAPP kepada perdana menteri supaya jangan ambil sebarang tindakan terhadap presidennya, rasanya tidak perlu rayu kerana perdana menteri bukan dari kalangan orang tidak berhati perut.

Tapi kalau soal terlibat rasuah dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah,itu adalah di luar bidang kuasa perdana menteri kerana perdana menteri kita sekarang bukan Tun Mahathir Mohamad yang suka-suka boleh campur tangan dalam institusi kehakiman sepertimana yang pernah dilakukan
sebelum ini.

Friday, June 20, 2008

KJ - SAPPing the People's Will

I wrote a few days back about Dato' Seri Anwar Ibrahim's ambition to form a "back door" Government before 16 September, 2008. I suppose he's chuffed that SAPP's Datuk Yong Teck Lee seems to have gotten the ball rolling for him. Dato' Seri Anwar is hoping that Datuk Yong's challenge to PM will start the fall of the domino pieces one by one until he crosses the line of Parliamentary majority. That is his game, plain and simple. Knock one down and pressure others to follow suit. Soon enough he will have a critical mass and everyone will want to jump. READ MORE